Integrasi tanaman di ladang sawit ialah satu kaedah yang baik untuk memaksimumkan penggunaan tanah dengan menanam tanaman sampingan yang terpilih antara barisan sawit terutamanya ketika pokok sawit masih kecil. Ia sangat sesuai dilaksanakan ketika pokok sawit masih muda iaitu berumur 1-3 tahun selepas ditanam ke ladang. Walau bagaimanapun, integrasi tanaman ini juga sesuai dilaksanakan di kawasan sawit matang yang ditanam mengikut kaedah penanaman sawit secara dua baris kembar.
Kajian-kajian yang lepas mendapati pelbagai jenis tanaman sesuai untuk diintegrasikan di kawasan antara barisan sawit khususnya jenis tanaman jangka pendek. Tanaman-tanaman tersebut adalah seperti kacang tanah, keledek, jagung manis, padi huma, kacang soya, tembikai, keladi, ubi kayu, halia, serai, sayur-sayuran, pisang berangan, pisang tanduk, nanas, tebu kuning, betik, Baktris, Tongkat Ali dan pelbagai jenis tanaman yang lain.
Pelaksanaan teknologi ini secara sistematik di ladang sawit dapat memberikan banyak faedah daripada aspek ekonomi, persekitaran dan juga sosial. Ia merupakan salah satu pendekatan yang penting dan dilihat mampu meningkatkan produktiviti serta daya saing industri perladangan sawit di negara ini. Pelaksanaan yang baik dan meluas oleh penanam-penanam sawit akan menjamin pertumbuhan sektor perladangan dan pertanian yang mapan di negara ini.