Kajian Awal Outcome EPP1 – Tanam Semula dan Tanam Baru Sawit Pekebun Kecil

Kajian Awal Outcome EPP1 – Tanam Semula dan Tanam Baru Sawit Pekebun Kecil

Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) dan Tanam Baru Sawit Pekebun Kecil (TBSPK) telah dilancarkan pada tahun 2011 di bawah RMKe-10. Ia merupakan Entry Point Project 1 (EPP1) Key Economic Area (NKEA) komoditi sawit. Melalui program ini, pekebun kecil persendirian dibekalkan dengan anak benih berkualiti, baja untuk peringkat awal penanaman, bahan kimia untuk kawalan rumpai dan perosak serta insentif tunai untuk penyediaan kawasan dan menanam sawit. Pekebun kecil juga diberi khidmat nasihat mengenai penanaman dan pengurusan tanaman sawit oleh pegawai pengembangan MPOB. Satu kajian telah dijalankan untuk mendapatkan maklumat asas dan menilai kesan awal perlaksanaan EPP1. Hasil kajian mendapati purata umur peserta skim adalah 59 tahun. Sebanyak 45.6 % peserta merupakan pemilik – pengusaha kebun sawit. Purata hasil buah tandan segar (BTS) tahun pertama penuaian adalah 6.55t/ha/tahun. Terdapat peningkatan pendapatan bulanan peserta selaras dengan pencapaian hasil BTS iaitu sebanyak RM100/bulan (14.28%) bagi peserta TSSPK dan RM800/bulan pendapatan baru bagi peserta TBSPK. Di samping itu terdapat peserta yang mengusahakan tanaman jangka pendek secara integrasi dengan tanaman sawit. Aktiviti tersebut telah dapat menjana pendapatan sampingan sementara sawit belum mengeluarkan hasil. Peserta memberi respons yang baik terhadap khidmat pengembangan yang diberi oleh Pegawai TUNAS (Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit) MPOB dengan mengamalkan Amalan Pertanian Baik. Peserta juga berpuas hati dengan pelaksanaan skim dan perkhidmatan Pegawai TUNAS Kawasan. Hasil kajian merumuskan bahawa skim ini adalah relevan jika terus dilaksanakan pada masa akan datang dengan kaedah perlaksanaannya ditambah baik untuk meningkatkan keberkesanannya demi mencapai objektif yang disasarkan.