FINAL PROSIDING POSTER PKPKS 2016

FINAL PROSIDING POSTER PKPKS 2016

Kajian in vitro mendapati Streptomyces GanoSA1 (aktinomiset pencilan tanah) telah dikenalpasti sebagai agen kawalan biologi untuk penyakit Ganoderma. Aktinomiset ini telah berjaya dikeluarkan sebagai serbuk bio-organik EMBIOTM actinoPLUS yang diadukan dengan vermikulit dan bioarang. Kajian penggunaan EMBIOTM actinoPLUS untuk mengawal penyakit Ganoderma telah dijalankan di peringkat tapak semaian dan ladang. Dalam kajian ini, dua rawatan terlibat, iaitu pokok sawit tidak dirawat dengan EMBIOTM actinoPLUS (T1, kawalan) dan pokok sawit dirawat dengan EMBIOTM actinoPLUS (T2). Peratusan kejadian penyakit (DI), keterukan simptom daun (SFS) dan kematian pokok sawit telah direkodkan bagi menilai keberkesanan EMBIOTM actinoPLUS untuk mengawal penyakit Ganoderma. Di tapak semaian, anak pokok sawit yang dirawat dengan EMBIOTM actinoPLUS menunjukkan peratusan kematian yang lebih rendah (41.65%) berbanding dengan anak pokok sawit tanpa rawatan (80.0%). Kajian peringkat ladang menunjukan hanya 6.6% pokok sawit dirawat dengan EMBIOTM actinoPLUS mati akibat jangkitan Ganoderma berbanding pokok sawit tanpa rawatan dengan 75.0% tiga tahun selepas ditanam. Peratusan kejadian penyakit dan keterukan simptom daun adalah direkodkan rendah ke atas pokok sawit yang dirawat dengan EMBIOTM actinoPLUS berbanding dengan pokok sawit tidak dirawat dengan EMBIOTM actinoPLUS. Produk EMBIOTM actinoPLUS adalah mesra alam dan tiada kesan negatif ke atas manusia dan haiwan. Kajian ini menunjukan potensi EMBIOTM actinoPLUS untuk mencegah dan mengurangkan kejadian penyakit Ganoderma ke atas pokok sawit. Penggunaan EMBIOTM actinoPLUS di tapak semaian, semasa tanam semula sawit (lubang tanaman) dan selepas sawit ditanam adalah disyorkan.